ke Laman Utama
Penilaian Hukum Syariah Bagi Pelan Pemasaran Stormreaders Sdn Bhd
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat
junjungan mulia pesuruh Allah, Nabi Muhammad s.a.w, para sahabatnya dan
setiap mereka yang menuruti jalan lurus panduannya.
Setelah
dilakukan semakan dan perbincangan berkenaan plan perniagaan yang
diberikan, sekadar kemampuan kami, berikut disertakan hasil semakan ke
atas pelan pemasaran Stormreaders Network Sdn Bhd :-
1. Apakah barang yang menjadi teras bisnes dan jualan?
Jawabnya ia adalah kumpulan buku-buku agama dan media terbitan Telaga
Biru Sdn. Bhd. Justeru tiada keraguan pada "subject matter"
dalam skim Stormreaders Network Sdn Bhd.
2. Menjadi Ahli
Keahlian Stormreaders
Network boleh dimiliki dengan membayar yuran pendaftaran sebanyak RM90
untuk:
- Kit Permulaan Perniagaan = RM30
- Kad
keahlian Stormreaders = RM30 (tahunan)
- Insuran Takaful RM20,000
- Khairat
Kematian RM3,000
- Kemudahan e-Store & Sistem
e-Net = RM30 (tahunan)
Maka:
setelah semakan, beberapa aqad telah digunakan iaitu:
1.
Wakalah Muqayyadah: Iaitu pihak peserta mewakilkan sebahagian
wangnya untuk menyertai skim takaful dan juga skim khairat kematian. 2.
Ijarah (Sewa): e-Store & Sistem e-Net adalah sebuah kedai
maya dan sistem maklumat pengurusan rangkaian yang disewakan kepada
peserta dengan nilai tertentu pada setiap tahun. Dikenakan pada nilai
RM30 setiap tahun. Ahli bebas sama ada untuk meneruskan sewaan atau
tidak (memperbaharui keahliannya). 3. Bai al-Mutlaq:
Iaitu jual beli biasa, apabila pihak peserta membeli Kit Permulaan
Perniagaan.
Justeru, sepanjang semakan
saya, tiada unsur pinjaman duit, atau serahan duit tanpa timbal balas
aset. Semua wang yang diserahkan dalam yuran awal mempunyai aqad
tersendiri di dalam Islam dan semua aqad tersebut adalah harus dan
halal.
Menggabungkan pelbagai aqad tersebut dalam satu borang
juga diizinkan kerana semua aqad berdiri dengan sendirinya (Mustaqil)
tanpa bertentangan di antara satu sama lain. Dalam kata lain ia bukan "Uqud
Mutanaqidhah Wa Mutanafiah” yang tidak boleh digabung
jalinkan.
Di peringkat ini, ahli boleh menjana pendapatan
dari:
2.1. 20% Komisyen Jualan e-store
peribadi
Syariah:
Wakalah Bil Ujr (wakil dengan upah): Oleh kerana
barangan di dalam e-store adalah bukan milik ahli, tetapi milik syarikat
yang diniagakan oleh ahli di dalam ‘online store’nya. Ini bermakna
hubungan di antara ahli dan syarikat dalam konteks ini adalah ‘WAKALAH
BIL UJR’ Aqad ini juga termeterai iaitu apabila setiap
penjualan yang dibuat melalui e-store peserta, pihak syarikat akan
memberikan komisyen sebanyak 20% dari semua harga terkumpul jualan. Ia
juga halal dan harus serta menepati syarat-syarat dalam aqad Wakalah
Bil Ujr iaitu wakil maklum akan jumlah komisyen yang
ditawarkan syarikat.
2.2.
5% Bonus Jualan e-Store Global (GOSV) - Perkongsian daripada 5% jumlah
jualan seluruh e-Store yang terdapat di dalam rangkaian e-Store
Stormreaders Network dengan jumlah perkongsiannya mengikut tahap
pencapaian jualan e-Store peribadi.
Syariah:
Pendapatan ini halal, ia didasari oleh aqad Hibah,
iaitu hadiah dari sebelah pihak iaitu syarikat sebagai insentif galakan
bagi ahli mereka.
3.
Menjadi Pengedar
Ahli boleh maju kepada
peringkat ‘Pengedar’ dengan membuat pembelian peribadi terkumpul yang
bernilai 100 mata (RM300).
Syariah: Tiada
masalah dari sudut hukum kerana penganugerahan ini datang dari pihak
syarikat sejurus ahli mencapai tahap yang ditentukan. Oleh kerana
gelaran ini datang dengan sedikit kelebihan tambahan, ia didasari oleh
aqad Hibah. Pembelian peribadi yang disyaratkan juga
tiada bermasalah kerana ia adalah pembelian aset sebenar (iaitu produk
buku dan lain-lain), dan pembelian peribadi ini tidak diikat dengan
sebarang syarat lain yang bertentangan dengan sifat aqad jual beli (Muqtada
al-Aqd)
3.1. 5% Komisyen jualan
peribadi di dalam rangkaian (direct sponsor) Syariah:
Didasari oleh aqad Hibah dari satu pihak, tiada
sebarang masalah dari perspektif Syariah.
3.2.
10% Bonus ‘overriding’ e-Store tajaan peribadi (dengan syarat jualan
minima e-Store peribadi mencapai RM500 setiap bulan). Syariah:
Aqad digunakan adalah Hibah Bi Syarti Iwad. Iaitu
hadiah dengan syarat pencapaian satu kerja sebagai timbal. Janji
Hibahnya berlaku adalah apabila pihak syarikat menjanjikan hadiah
bernilai 10 % dari harga jualan e-Store peserta yang berada di dalam
kumpulannya, syarat pencapaian sebagai timbalan adalah pihak syarikat
mengenakan syarat RM500 jualan sendiri pada bulan tersebut. Aqad ini
juga boleh ditakyif sebagai jualah iaitu :- Syarikat menawarkan
10% dari nilai jualan kumpulan di bawah seseorang peserta apabila
peserta dan kumpulan di bawah berjaya mencapai satu target jualan. Aqad
seperti ini juga harus di sisi Islam.
3.3.
5% Bonus ‘overriding’ jualan kumpulan rangkaian sehingga jumlah maksima
RM4500 seminggu atau 25% daripada jumlah jualan harian kumpulan (dengan
syarat membina sekurang-kurangnya 3 kumpulan dengan 100 mata setiap
kumpulan). Syariah: 5% ini
dianugerahkan oleh pihak syarikat dengan target pencapaian jualan dan
pembinaan kumpulan. Justeru ia sekali lagi dibina atas aqad Jualah.
3.4. 3% Bonus jualan
rangkaian global GNRSV - Perkongsian daripada 3% jumlah jualan
rangkaian global dengan jumlah perkongsian bergantung kepada tahap
pencapaian.
Syariah:
3% ini dianugerahkan oleh syarikat sebagai tambahan pendapatan ahli. Ia
di dasari oleh Hibah.
4. Menjadi Pemimpin
Pengedar dan juga
ahli-ahli di dalam kumpulannya perlulah membuat JUALAN PERIBADI bulanan
minima 20 mata (RM60) masing-masing untuk terus menikmati komisyen dan
bonus rangkaian.
Syariah: Terma ini juga harus di sisi
Syariah dan ia didasari oleh aqad Ju’alah sama seperti
sebelum ini. Yang mana, jualan peribadi dan ahli dijadikan sebagai
prestasi atau target yang perlu dicapai bagi membolehkan pengedar dan
ahli dalam kumpulan unutk menikmati komisyen dan bonus rangkaian. Dalam
konteks ini, komisyen dan bonus rangkaian menjadi imbuhan Ju’alah.
Hasil prestasi jualan bulanan ini juga akan memberikan bonus
tambahan kepada pengedar dan kumpulan rangkaian seperti berikut:
4.1.
5% Bonus kesetiaan kumpulan sehingga kepada tahap maksima mengikut
tahap pencapaian atau pangkat.
Syariah:
Ia terbina dari aqad Hibah oleh pihak syarikat kepada
ahli yang dirasakan layak dan menepati kriteria tertentu.
4.2.
5% Bonus kesetiaan kumpulan global (GNMSV) - Perkongsian 5% daripada
jumlah jualan bulanan dengan jumlah perkongsian mengikut tahap
pencapaian atau pangkat). Syariah:
Ia terbina dari aqad janji HIBAH yang ditawarkan oleh
pihak syarikat. Tiada masalah syariah dalam perkara ini.
4.3.
Tabung Umrah & Pelancongan (Simpanan dari Perkongsian 2% daripada
jumlah jualan bulanan dengan jumlah perkongsian mengikut tahap
pencapaian atau pangkat).
Syariah: Ia juga adalah dari jenis Hibah Mutlaqah
oleh pihak syarikat.
Penyemakan
dari semasa ke semasa juga akan kami jalankan demi memastikan
perjalanan bisnes ini menepati hukum Islam.
Demikian ringkasan
kajian kami dan pihak kami sentiasa mengalukan komentar membina dari
pelbagai pihak lain sekiranya didapati ada perkara penting yang terlepas
dari semakan dan pemerhatian kami.
Kami juga dengan ini tidak
bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang pindaan ke atas plan atau
salahlaku mana-mana individu dari syarikat atau ahli dalam menjalan
aplikasi plan dan bisnes ini, atau apa jua perubahan yang dilakukan di
luar pengetahuan kami.
Wallahu’alam. Sekian.
Zaharuddin Abd Rahman & Zahazan Mohamed
Penasihat
Syariah
Stormreaders Network Sdn Bhd
|